Apakah risiko kesihatan yang dikaitkan dengan telefon mudah alih dan stesen pangkalannya?

Telefon mudah alih dan FAQ EMF

Apakah risiko kesihatan yang dikaitkan dengan telefon mudah alih dan stesen pangkalannya?

Diambil daripada Q&A WHO Dalam Talian 20 September 2013.

Ini adalah soalan yang WHO memberi perhatian serius. Mengambil kira bilangan besar pengguna telefon mudah alih, peningkatan kecil sekalipun dalam kejadian kesan kurang baik kepada kesihatan mungkin mempunyai implikasi kesihatan awam yang utama.

Disebabkan oleh keterdedahan kepada medan frekuensi radio (RF) yang dikeluarkan oleh telefon mudah alih pada umumnya lebih daripada 1000 kali lebih tinggi daripada stesen pangkalan, dan kemungkinan lebih besar apa-apa kesan kurang baik yang disebabkan oleh telefon mudah alih, kajian telah dijalankan hampir secara eksklusif ke atas kemungkinan kesan keterdedahan telefon mudah alih.

Penyelidikan telah memberi tumpuan kepada bidang yang berikut:

  • kanser
  • lain-lain kesan kesihatan
  • gangguan elektromagnet
  • kemalangan trafik

Kanser 
Berdasarkan bukti epidemiologikal bercampur ke atas manusia berhubung dengan kaitan antara keterdedahan kepada sinaran RF daripada telefon tanpa wayar dan kanser kepala (glioma dan neuroma akustik), medan-medan RF telah diklasifikasikan oleh Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser sebagai berkemungkinan karsinogenik kepada manusia (Kumpulan 2B) . Kajian setakat ini tidak memberikan petunjuk bahawa pendedahan alam sekitar kepada medan RF, seperti dari stesen pangkalan, meningkatkan risiko kanser atau mana-mana penyakit lain.

Lain-lain kesan kesihatan 
Ahli-ahli sains telah melaporkan terdapatnya lain-lain kesan kesihatan penggunaan telefon mudah alih termasuk perubahan dalam aktiviti otak, masa tindak balas, dan corak tidur. Kesan-kesan ini didapati kecil dan tidak mempunyai kesan kesihatan yang ketara. Lebih banyak kajian sedang dijalankan untuk mengesahkan penemuan-penemuan ini.

Gangguan elektromagnet 
Apabila telefon mudah alih digunakan terlalu dekat dengan beberapa peranti perubatan (termasuk perentak jantung, defibrilator implan dan alat bantuan pendengaran tertentu) terdapat kemungkinan ia menyebabkan gangguan operasi peranti. Risiko ini didapati lebih berkurang bagi telefon 3G dan peralatan yang lebih baharu. Terdapat juga potensi gangguan antara isyarat telefon mudah alih dan elektronik pesawat. Beberapa negara telah melesenkan penggunaan telefon mudah alih di dalam pesawat semasa penerbangan dengan menggunakan sistem yang mengawal kuasa output telefon.

Kemalangan lalu lintas 
Penyelidikan menunjukkan peningkatan risiko kemalangan lalu lintas, di sekitar 3-4 kali berkemungkinan lebih besar berlaku, apabila telefon mudah alih (sama ada dipegang atau dengan alat "bebas tangan") digunakan semasa memandu disebabkan oleh gangguan.

Kesimpulan 
Walaupun peningkatan risiko ketumbuhan dalam otak akibat daripada penggunaan telefon mudah alih tidak dibuktikan, peningkatan penggunaan telefon mudah alih dan kekurangan data bagi penggunaan telefon mudah alih dalam jangka masa yang lebih lama daripada 15 tahun mewajarkan penyelidikan lanjut mengenai penggunaan telefon mudah alih dan risiko kanser otak. Khususnya, dengan populariti penggunaan telefon mudah alih baru-baru ini di kalangan orang muda, dan justeru itu potensi hayat pendedahan yang lebih lama, WHO telah menggalakkan penyelidikan lanjut ke atas kumpulan ini dan sedang menilai kesan kesihatan medan RF dari semua sudut pandangan.

Sumber: Q&A Dalam Talian WHO 20 September 2013